BCB lancar pembangunan mewah multi generasi Broadleaf Residence
SHAH ALAM, 12 Julai (Bernama) — Pemaju hartanah, BCB Berhad hari ini melancarkan projek kediaman mewah ‘Broadleaf Residence’ berkonsepkan multi-generasi dan mewah dengan nilai pembangunan kasar RM660 juta, di Persiaran Anggerik Renantanda, Kota Kemuning di sini.
Pengurus Pemasaran, Low Wei Ling berkata projek kediaman yang dibangunkan di atas kawasan berkeluasan 19.6 hektar itu terdiri daripada 51 unit banglo dan 244 unit jenis berkembar dua.
“Kami mula menawarkan unit kediaman ini sejak awal 2019 dan buat masa ini permintaan terhadap kedua-dua jenis kediaman tersebut sangat memberangsangkan.
“BCB tidak meletakkan tempoh untuk kesemua kediaman ini habis terjual namun berdasarkan lokasi strategik kediaman yang terletak di Kota Kemuning, kita optimis ia akan habis dijual dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran itu di sini, hari ini.
Beliau berkata pembangunan keseluruhan ‘Broadleaf Residence’ dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2020.
Low berkata harga unit banglo yang bercirikan urban dan mempunyai kemasan mewah dengan enam bilik tidur dan tujuh bilik air itu bermula daripada RM3 juta sehingga ke RM5 juta seunit bergantung pada keluasan.
“Kami menawarkan lima saiz banglo berbeza keluasan iaitu bermula daripada 4,553 kaki persegi hingga 7,174 kaki persegi,” katanya.
Beliau berkata bagi kediaman berkembar dua pula harga yang ditawarkan kepada pembeli adalah RM2 juta seunit dengan keluasan bermula 3,111 kaki persegi hingga 7,858 kaki persegi.
Jenis kediaman itu disasarkan kepada pembeli yang menyukai reka bentuk kediaman moden dan urban, katanya.
BCB kini mengadakan kempen selama tiga hari bermula hari ini untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat kediaman ‘Broadleaf Residence’ yang ditampilkan menerusi kediaman contoh, selain pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.
Kempen itu turut diadakan sempena ulang tahun ke-30 syarikat itu tahun ini.
Source: BERNAMA